PEKAN: Majlis rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar dekat sini, esok dijangka menarik kira-kira 70,000 tetamu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhamad berkata, setakat ini persiapan majlis yang akan berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 2 petang itu berjalan lancar. "Kira-kira 200 gerai dari 150 pembekal makanan sekitar Pekan juga bersedia menyediakan pelbagai jenis juadah hari raya termasuk makanan tempatan seperti opor daging, puding raja, laksa Pahang, kuih-muih tradisional, nasi beriani, nasi minyak dan roti jala," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan persiapan majlis akhir tersebut di sini, hari ini.
Ishak berkata, sambutan rumah terbuka esok bukan sahaja mahu meraikan penduduk Pekan dan orang ramai tetapi turut mempromosi makanan tradisional Pekan.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berkenan berangkat menghadiri rumah terbuka itu.
Perdana Menteri akan menyampaikan sumbangan kepada 200 bakal jemaah haji dari Pekan selain pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke majlis terbabit, katanya.
"Beberapa orang artis terkenal seperti Awie (Wings), penyanyi Syed Sobrie, Azie, Noraniza Idris, Nassier Wahab, DJ Dave dan Hattan turut dijemput memeriahkan majlis," katanya sambil menambah majlis akan dihoskan Linda Onn, Sharifah Shahira, Lan Pet Pet dan Sathiya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Komen sahabat-sahabat amatlah aku hargai... tolong pastikan komen anda disertakan nama.. Anda BertanggungJawab Terhadap komen-komen anda sebagaimana seorang manusia dewasa yang matang dan mampu menentukan tindakan anda.. terima kasih..