Pengajaran dari Permatang Pauh
Oleh SOBRI SUDIN
Permukiman penulis selama dua minggu di Permatang Pauh mulai 12 Ogos sehingga 26 Ogos menyaksikan pertarungan getir, suka duka dan pelbagai peristiwa menarik dalam sejarah pilihan raya kecil di negara ini. Selain mampu memberi banyak makna dan pengajaran.
Hakikatnya sumpahan Permatang Pauh terus menjadi badi berterusan sehingga kawasan tersebut boleh disinonimkan dengan Anwar Ibrahim. Seperti mana dekat dan eratnya Allahyarham Fadzil Nor dengan Bukit Raya. Apabila mengambil maudhuk dan asas ini maka fahamlah kita kenapa cara berfikir lebih 58,459 pengundi tidak berubah?
Gunakanlah apa jua strategi, taktik, pendekatan, politik pembangunan, imbuhan ataupun elemen propaganda media segenap penjuru. Apa yang nyata kesemua elemen ini akhirnya menjadi backclash kepada usaha Barisan Nasional (BN).
Memang benar sebaik sahaja Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan perletakan jawatan pada 31 Julai, gendang paluan perang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sudah bermula. Akan tetapi persediaan psikologi, fizikal dan mental sebahagian besar ahli UMNO dan BN misalnya masih dalam dilema dan trauma. Sebahagiannya akibat tsunami politik PRU ke-12, 8 Mac yang lalu. Sebahagian lagi kerana pergelutan mesyuarat cawangan, pemilihan bahagian dan lobi untuk jawatan Majlis Tertinggi.
Ini disebabkan baik UMNO mahupun MCA, dua buah parti berkenaan turut menghadapi pemilihan peringkat cawangan dan Bahagian. Justeru apabila jentera digerakkan ke Permatang Pauh, bala tentera BN berbelah bahagi, punyai fokus yang berbeza, mana lagi mahu diingatkan cawangan yang ditinggalkan, dalam masa yang sama perlu pula menghadapi taktik agresif, daya juang tinggi semangat petugas PKR dan Pakatan Rakyat.
Sebab itu dalam kebanyakan hal petugas dan jentera BN dilihat agak santai, dengan coffe-house Hotel Sunway di Seberang Jaya, Hotel Summit di Bukit Mertajam menjadi tumpuan. Termasuklah memenuhi ruang Restoran Nasi Kandar Pelita Samudera, Retoran Nasi Kandar Khalel dan Kassim Mustaffa. Sebahagian petugas lainnya ada yang menginap di Sungai Petani, Kedah dan di bahagian sebelah pulau, satu lokasi yang tidak praktikal untuk membolehkan kerja berganda dan bersungguh dilakukan.
Natijahnya, petugas seakan-akan lali seperti mana enaknya nasi kandar berserta kuah kari yang dihidangkan. Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang seharusnya ditanggapi sebagai 'medan perang induk' dilihat tidak lebih daripada sekadar satu pilihan raya yang pernah dilalui oleh BN selama ini.
Hakikat bahawa UMNO dan BN Pulau Pinang adalah pembangkang, begitu juga UMNO dan BN negeri-negeri jiran lain seperti Kedah, dan Selangor yang turut sama bertungkus-lumus bekerja siang dan malam turut membawa tagline pembangkang tidak diinsafi.
Kesannya petugas atau gerak kerja yang dilakukan seolah-olah UMNO dan BN masih menjadi pemerintah negeri-negeri berkenaan. Lalu wujudlah budaya mengambil mudah, ego, dan lagak yang agak memualkan.
Maka dilihat dari dua sudut, elemen propaganda dan kewujudan bilik gerakan, markas dan pondok panas sedari awal sudah membuktikan jentera UMNO/BN jauh ketinggalan. Bandingan boleh dibuat misalnya kata-kata, slogan yang terpampang hasil kreativiti PKR dan BN.
BN masih dengan 'slogan' lama sebagai contoh 'Tekadkan Pilihan Anda, Undilah Barisan Nasional'. Sedangkan dalam dunia yang serba canggih, pelbagai risalah, papan iklan, sepanduk serta karikatur yang lebih menarik dan mampu meruntun hati pengundi sebenarnya boleh dilaksanakan.
PropagandaPetugas BN tidak kurang tenaga pakarnya, namun mungkin elemen imbuhan jadi keutamaan justeru hasil kerja sekadar siap semata-mata, tidak ada pengisian roh, rasa komitmen yang tinggi dalam menjadikan bahan kempen itu lebih menarik, inovatif dan berdaya saing.
Ditambah dengan lagu dan kaedah propaganda lama oleh media arus perdana. Pengulangan teknik dan taktik yang sama paparan berita TV misalnya yang menggunakan elemen dan pendekatan yang sama, sudah mampu diduga oleh penonton. Lantas melahirkan satu sentimen, bahawa semua maklumat dan berita yang dipaparkan tidak benar dan rekaan semata-mata.
Akhbar mahupun televisyen harus berubah, bukan menjadi tukang kempen calon tertentu sebaliknya mengajak pembaca dan penonton berfikir, dengan logik praktik yang ada. Selagi media dipersepsikan sebagai tukang kempen calon tertentu maka kredibiliti, teknik yang digunakan akan lama kelamaan menjadi hambar.
Sering kali dalam setiap pilihan raya baik umum mahupun kecil semenjak pilihan raya pertama 1959, faktor 5M menjadi pendorong kepada kekuatan UMNO dan BN. Money (wang), media, machinery (jentera), manpower (tenaga manusia), manipulation (manipulasi) dimaksimum sebaik mungkin oleh pemerintah sehingga tidak ada ruang kepada parti lawan untuk bangkit menghadapinya.
Malang dalam situasi pilihan raya kecil Permatang Pauh, PKR yang tenaga induknya adalah serpihan UMNO, juga punyai formula dan kepakaran di bidang yang sama. 5M ini dimanfaatkan sebaik mungkin, kerana dari segi perbelanjaan, cara kerja, pengurusan tenaga manusia dilihat jelas PKR cukup banyak sumber kewangan dan jenteranya yang pelbagai.
Barangkali UMNO dan BN selain formula 5M tradisi harus menggabungkan dengan 5M kontemporari yakni Mengenali, Mencari, Mendekati, Menjelas dan Merayu Pengundi.
Jika ini dapat dihubung jalinkan, tidak mustahil dalam beberapa siri pilihan raya kecil yang dijangka bakal berlaku pada masa akan datang, UMNO dan BN tidak akan dimakan sumpah lagi.
Persoalannya pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang dianggap ibu segala pilihan raya di negara ini bakal menimbulkan implikasi pelbagai. Demokrasi yang telah terlaksana dengan baik meskipun adanya unsur pergaduhan, budaya provokrasi dan agresif petugas parti, namun hak rakyat telah tertunai.
Apa pengajaran di sebalik meningkatnya majoriti undi yang dimenangi Anwar Ibrahim sebanyak 15,671 berbanding 13,338 yang dimenangi oleh isterinya pada 8 Mac 2008 yang lalu? Pertambahan sebanyak 2,283 undi. Dalam masa yang sama calon BN hanya beroleh 15,524 undi lebih rendah daripada jumlah yang didapati dalam PRU ke-12 lalu yakni sebanyak 16,950 dan 21,147 undi pada Pilihan Raya Umum ke-11, 2004.
Realitinya, sumpahan Permatang Pauh terus membelenggu BN untuk tempoh masa yang cukup lama. Buktinya juga politik pembangunan yang selama ini memenangkan BN sudah tidak signifikan, kerana pemikiran pengundi era kini lebih strategik.
Berilah apa jua bantuan, sumbangan atau imbuhan, mereka akan terima dengan lapang dada atas prinsip ini hak rakyat, namun mengundi belum tentu.
RasionalRasionalnya juga politik liberal dan majmuk PKR makin diterima sedangkan faham perkauman yang mendasari parti komponen BN makin ditolak rakyat. Keputusan pilihan raya kecil ini juga harus menjadi satu tanda aras tentang pencapaian dan gerak kerja petugas BN.
Demikian juga agensi risikan, kaedah, metodologi, sumber penilaian dan analisis harus lebih terkini. Penggunaan kuantum nisbah 50:50, atau 80:20 sudah agak ketinggalan zaman. Indikator seperti trend, simpton, kecenderungan, tingkah laku pengundi, senario semasa, sentimen dan faktor sejarah harus diambil kira dalam membuat analisis holistik bagi membolehkan tahap objektiviti ramalan mencapai tingkat tertinggi.
Gerak kerja pilihan raya juga jika mahu berjaya harus mengetepikan soal imbuhan dan kewangan. Ironinya medan pilihan raya kecil atau umum bukan tempat membuat duit, atau melobi sebarang bentuk perniagaan.
Kesukarelaan harus diletakkan pada tahap paling tinggi, moral, daya juang, istiqamah, sanggup berkorban dan daya tahan harus kukuh. Demikian juga selain percaturan atas kertas dan tenaga manusia, pertolongan dari Allah SWT harus juga dipohon.
Koordinasi kerja juga perlu cekap, sikap akauntabiliti, integriti dan ambil peduli juga harus tinggi. Sebab itu pengalaman di Permatang Pauh seolah-olah menunjukkan UMNO Pulau Pinang dan UMNO Bahagian Permatang Pauh terlalu mengharapkan gerak kerja dari petugas UMNO negeri lain.
Ibarat tuan rumah mahu mengadakan kenduri, namun segala persiapan, keperluan dan tatacara diminta para tetamu dan jiran untuk menguruskannya. Tentulah mewujudkan suasana bercelaru dan ketidaktentuan.
Kempen yang memenatkan sudah pun berlalu, pergeseran sesama kaum, kawan rakan, handai dan taulan, perkelahian dan unsur ganas yang mewarnai pilihan raya kecil Permatang Pauh harus diinsafi semua. Persoalan seterusnya, apa nasib masa depan politik negara?
Adakah penolakan pengundi di Permatang Pauh ke atas BN dapat diterima sebagai satu wake up call atau panggilan kecemasan bahawa populariti kepimpinan negara mulai pudar? Apakah natijah, implikasi di sebalik semua ini? Ke mana arah tuju dan arah haluan hubungan kaum, nasib masyarakat, kemuliaan agama dan pemantapan institusi di hari-hari mendatang?
Apa yang boleh dinukilkan ialah banyak ketidaktentuan daripada jaminan kestabilan. Ketidaktentuan yang boleh memusnahkan, diharap setiap pemimpin sama ada parti pemerintah mahupun pakatan pembangkang lebih rasional. Jangan lagi kerana politik kuasa, rakyat dan institusi dimangsai.
Demokrasi telah terlaksana, mandat yang diperoleh harus dijalankan dengan penuh cekap dan amanah. Rakyat sudah letih, celaru, dan tidak keruan memikirkan nasib masa depan.
Semangat Ihya Ramadhan yang bakal tiba awal September nanti harus menjadi medan keinsafan untuk kita semua kembali bertaut kasih dan silaturrahim, tinggalkan seketika baju politik atas nama kepartian atau ideologi. Kita bina dan bangunkan kembali negara ini dan institusinya supaya sejahtera, supaya aman, terus makmur dan dalam masa yang sama bermunajat dan bermohon kepada Allah supaya melindungi negara bertuah ini daripada sebarang malapetaka dan bencana dan unsur penjajahan semula daripada apa jua anasir luar yang tidak bertanggungjawab.
di petik dari : http://www.utusan.com.my/
Anda Mungkin Ingin Lebih Tahu:
-
Malam semalam aku balik dari majlis berbuka puasa bersama sahabat-sahabat... mendapat SMS dari Jai membuatkan aku tanpa berfikir panjang ber...
-
Pembiayaan TEKUN Konsep Pembiayaan TEKUN Pembiayaan TEKUN adalah pembiayaan secara mudah. Jumlah Pembiayaan Jumlah pemb...
-
Seorang isteri hilang pertimbangan dengan menghentak kepala suaminya dengan batu lesung kerana tidak dibelikan baju raya. Kejadian berlaku d...
-
Makcik-makcik ni dari Gombak merungut tindakan Pak Samad dan mereka berbaju BERSHIT mencemarkan sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke 55.. ...
-
ahahahahahahahahha... salah maklumat rupanya... kena tumbuk bukan kena pijak... walaupun itu adalah salah satu dari azam tahun baru 20...
-
Alhamdulillah.... Dalam berbelanja semasa bulan puasa ni aku sempat juga menabung untuk masa depan.... Masa Depan...?? Aku pun tak pasti apa...
AKU BERTINDAK... ANDA BILA LAGI????
Aku Membuat Laporan Kepada DBKL Terhadap Tindakan Biadap Mereka Yang Berkhemah di Dataran Merdeka. Mencemarkan nama negara. Mencemarkan nama golongan muda. Mencemarkan nama golongan terpelajar. Mencemarkan nama golongan MAHASISWA..
Saturday, August 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Satu Malaysia Satu Bahtera
TERIMA KASIH KERANA MENJADIKAN NEGARA INI AMAN. TERIMA KASIH KERANA MENJADIKAN NEGARA INI MAKMUR. TERIMA KASIH KERANA MENJADIKAN NEGARA INI BUMI BERTUAH.
No comments:
Post a Comment
Komen sahabat-sahabat amatlah aku hargai... tolong pastikan komen anda disertakan nama.. Anda BertanggungJawab Terhadap komen-komen anda sebagaimana seorang manusia dewasa yang matang dan mampu menentukan tindakan anda.. terima kasih..