Tujuan
Tujuan pelaksanaan PR1MA adalah untuk meningkatkan akses golongan berpendapatan sederhana kepada perumahan kos sederhana serta menggalakkan pemilikan hartanah kediaman.
Latar Belakang
Penyediaan perumahan kepada setiap lapisan masyarakat kini dilaksanakan oleh Kerajaan dan pihak swasta. Peranan pihak Kerajaan lebih tertumpu kepada penyediaan kemudahan perumahan awam kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah sementara pihak swasta pula menumpukan kepada pembangunan projek perumahan bagi kategori perumahan yang lain.
Pada masa ini terdapat jurang yang ketara dalam penyediaan rumah kategori kos sederhana dalam lingkungan harga RM150,000 hingga RM300,000 terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Kekurangan penawaran rumah kos sederhana disebabkan oleh kecenderungan pemaju-pemaju swasta membangun projek perumahan kos tinggi yang memberi pulangan yang lebih besar.
Rasional
Sebagai satu inisiatif strategik untuk memenuhi keperluan perumahan segolongan besar rakyat, Kerajaan mengambil langkah melaksanakan PR1MA bagi menyediakan rumah kos sederhana bertujuan khusus untuk mengisi jurang keperluan masyarakat dalam kumpulan berpendapatan isi rumah di bawah RM6,000 sebulan.
Kaedah Pelaksanaan
Program ini akan dilaksanakan melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership). Melalui kaedah ini, Kerajaan dan pihak swasta termasuk institusi kewangan akan menggembeling tenaga dan sumber ke arah menepati matlamat menyediakan rumah yang bukan sahaja mampu dimiliki malah berkualiti demi kesejahteraan dan keselesaan para penghuninya.
Pembeli rumah di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) ditawarkan pinjaman sehingga 105 peratus oleh institusi kewangan terpilih dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun selain dikecualikan pembayaran duti setem untuk mengurangkan beban mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan memastikan rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana, terutama di bandar dan pinggir bandar, membabitkan isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan. Katanya, pinjaman ditawarkan sehingga 105 peratus supaya lebihan lima peratus diguna bagi membiayai kos insurans dan yuran guaman.
Pembeli juga boleh mengeluarkan simpanan akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman.
Datuk Seri Najib turut mengumumkan penubuhan Perbadanan Program PR1MA, di bawah Pejabat Perdana Menteri, bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek itu di seluruh negara selain menentukan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.
Akta khas sedang digubal mengenai penubuhannya dan akan dibentang di Parlimen pada sidang akan datang.
Projek PR1MA yang dibangunkan menerusi usaha sama kerajaan-swasta ini adalah khusus untuk warga negara Malaysia yang berpendapatan sederhana tetapi tidak lebih daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.
Harga seunit ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi.
Untuk projek fasa pertama di Presint 11, Putrajaya harga seunit bermula daripada RM120,000.
Hingga kini sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan dikenal pasti bagi pelaksanaan projek PR1MA, termasuk lapan projek yang dijangka bermula tahun ini dan tahun depan, membabitkan 42,000 unit rumah strata dan kediaman bertanah.
Lokasi terbabit ialah Putrajaya; Cyberjaya; Bandar Tun Razak di Cheras dan Sungai Besi (Kuala Lumpur); Putra Heights di Subang Jaya, Ara Damansara di Petaling, Bandar Bukit Raja di Klang, Elmina East dan Elmina West di Shah Alam, Kota Elmina Di Sungai Buloh, Lagong Mas di Rawang (Selangor) serta Bandar Ainsdale di Seremban dan Seremban Sentral (Negeri Sembilan).
Tapak pertama projek PR1MA di Presint 11 di sini akan menyediakan 560 unit rumah dengan keluasan antara 815 kaki persegi (kps) hingga 1,006 kps di tapak seluas 1.9 hektar, lengkap dengan kemudahan dewan serba guna, Taska, Tadika, surau dan tapak perniagaan serta kedai.
hmm.. melayu..
Nak tanya la kan..projek pr1ma tuk kaw bdr tun razak,sg besi tu ble nk buat? Cm xde ape2 tindakan je..
ReplyDelete