Jangan biarkan kaduk naik junjung
(Sinar Harian 11 Jun 2012)
Seorang India Muslim (mamak) yang kononnya bergelar datuk amat marah dengan artikel saya, bertarikh 28 Mac 2012 lalu, bertajuk “tuntutan Dong Zong biadab”. Beliau yang mendakwa artikel saya tidak Islamik, merugikan Islam. Beliau tidak putus-putus faxkan surat yang sama kepada saya, mahukan penjelasan dan bersedia berdebat dengan saya. Beliau akan terus melakukannya selagi saya tidak menjawab apa yang beliau tanya. Persoalan saya, siapakah beliau? Apakah dengan gelaran datuk menandakan dia hebat dan boleh mengarah orang lain mengikut telunjuknya? Perompakpun ramai yang dapat gelaran datuk.
Terus terang, saya tidak perlu melayan minda kerdil orang seperti ini. Masih banyak kerja lain. Cuma saya kasihan dengan tindakan beliau. Paling kurang jagalah status kedatukannya itu. Faxlah lagi, saya suka dengan permainan ini. Jika mahu berdebat soal pendidikan, sila minta NGO-NGO yang tidak berpihak aturkan. Saya begitu teruja untuk berdebat dengan beliau.
Apapun, saya ingin menjawab persoalan yang dibangkitkan kerana ada kaitan dengan pandangan Dong Zong yang terbaharu. Ultra kiasu ini mendakwa Akta Pelajaran 1996 yang dipersetujui oleh MCA telah menyebabkan Sekolah Persendirian Cina (SPC) tidak bertambah dan statik bilangannnya kepada 60 buah sahaja. Pemimpin MCA menafikan dakwaan itu. Sebenarnya, kerajaan terlalu banyak bertolak ansur terhadap pendidikan Cina, terutama apabila Akta Pelajaran 1996 diwujudkan, berbanding Akta Pelajaran 1961.
Malangnya, ultra kiasu masih tidak bersyukur. Beri betis hendak peha. Ingatan saya kepada kerajaan, jangan biarkan kaduk naik junjung. Saya tidak dapat gambarkan apa akan terjadi dengan sistem pendidikan negara ini jika Pakatan Rakyat memerintah. Apakah negara ini akan dipenuhi dengan lambakan sekolah vernakular dan sekolah persendirian atas nama hak asasi manusia? Melalui pembacaan, tidak ada negara di dunia ini mempraktikkan sistem sebegini.
Tidakkah ultra kiasu ini sedar bahawa peruntukan 21B Akta Pelajaran 1961 sebelum ini jauh lebih keras? Melalui kuasa menteri, sekolah vernakular Cina boleh ditukar menjadi sekolah kebangsaan bila-bila masa. Pada ketika itu, pemimpin ultra kiasu Melayu menjadi Menteri Pendidikan,tidak berbuat apa-apa. Sehinggalah Perdana Menteri sekarang yang menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1995, baharulah peruntukan 21B dipinda menjadi lebih lunak.
Apa yang ultra kiasu ini mahukan lagi? Negara ini terletak di kepulauan mana?Apakah agenda tersembunyi di sebalik semua ini? Kenapa agenda kebangsaan langsung tidak dibincangkan, sebalik agenda bangsa terus diperkasa? Mereka menuduh Umno memperjuangkan Melayu, apakah bangsa lain tidak memperjuangkan bangsanya, malahan lebih ekstrem daripada itu?
Sebenarnya pindaan kepada Akta Pelajaran 1961 yang membawa wujudnya Akta Pelajaran 1996, memberikan signifikan yang amat besar kepada pendidikan Cina. Kerajaan secara tidak langsung telah mengiktiraf kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMKJC) dan SPC sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat kekal. Apakah ini masih tidak mencukupi?
Akta ini juga membolehkan kerajaan memberi bantuan kewangan, fiskal dan sumber perancangan kepada sistem pendidikan Cina. Untuk makluman, selepas tahun 1996, lebih banyak sumber kewangan diperuntukkan. Pada masa itu, terdapat 78 sekolah menengah Cina yang memilih untuk mematuhi silibus dan pengajaran kerajaan dan ia menjadi SMJKC manakala 60 lagi kekal sebagai SPC. Ini tidak termasuk sejumlah 1,291 SJKC yang diterima masuk sebagai sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan SJKC terus bertambah setiap tahun.
Lebih menguntungkan lagi Akta Pelajaran 1996 juga membenarkan SPC beroperasi dengan penuh kecinaan. Kedudukan bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan. Berbanding Akta Pelajaran 1961, SPC perlu memohon setiap tahun bagi membolehkan mereka beroperasi. Dengan Akta Pelajaran 1996, kerajaan telah mengiktiraf SPC dengan mengeluarkan pendaftaran kekal kepada semua 60 SPC.
Hari ini, peruntukan sudah hampir menjadi sama rata seperti aliran kebangsaan. Itupun mereka masih terus mendesak supaya SJKC dan SPC beroperasi dengan penuh kecinaan.
Ingatan saya kepada kerajaan dengarlah nasihat pakar, bukannya ultra kiasu kerana mereka ada agenda tersembunyi. Menurut Mohd Yazid Yusoff et al (2002), Akta Pelajaran 1996, ternyata memberi ruang yang begitu luas kepada pendidikan vernakular. Akta Pendidikan 1996 mengambil kira kepentingan semua kaum dengan cara mengekalkan status quo SJKC, SMJKC dan 60 buah SPC. Selain itu, secara tidak langsung Unified Examination Certificate (UEC) juga telah diiktiraf, walaupun masih belum sepenuhnya. Itupun mereka terus mendesak supaya diiktiraf sepenuhnya seperti sijil-sijil persekolahan kebangsaan lain.
Lebih menguntungkan lagi, dalam seksyen 2 Akta Pendidikan 1996, telah memperuntukkan pengajaran bahasa Cina dan Bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan boleh diadakan dengan satu syarat, jika ada permintaan 15 orang ibu bapa atau lebih. Manakala Dalam Akta Pendidikan 1961, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil boleh diajar dengan dua syarat iaitu ada permintaan dari 15 orang ibu bapa dan jika didapati munasabah dan praktik.
Jelas di sini bahawa Akta Pendidikan 1996 begitu meraikan bahasa bukan Melayu. Kesan daripada membenarkan bahasa-bahasa lain menjadi bahasa pengantar, sekolah vernakular dan sekolah swasta saban tahun semakin bertambah. Bahasa kebangsaan seolah-olah langsung dipinggirkan. Lebih malang lagi, kerajaan tidak dibenarkan campurtangan dalam hal ehwal pentadbiran sekolah mereka.
Menurut sejarahwan, Zainal Abidin bin Wahid (1999), isu bahasa mempunyai perkaitan yang rapat dengan perpaduan. Pengabaian isu bahasa boleh menjejaskan perpaduan kerana keadaan ini boleh merosotkan nilai ekonomi bahasa Melayu, boleh menjejaskan tata bahasa rasmi dan bahasa perpaduan, memburukkan lagi ketidakseimbangan dari segi penyediaan tenaga iktisas di kalangan bumiputera. Pengabaian bahasa juga boleh menjejaskan perpaduan negara kerana akan memperluaskan lagi jurang ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, juga mengakibatkan munculnya beberapa kumpulan pelajar iaitu aliran kebangsaan, Inggeris, Cina, Tamil dan sebagainya.
Pendek kata, memberikan ruang kepada bahasa bukan Melayu telah menjejaskan kepentingan bahasa Melayu sendiri. Dalam keadaan politik sekarang, sekiranya kerajaan terus melayan desakan ultra kiasu demi undi, saya bimbang aliran kebangsaan akan menjadi mangsa dan tidak relevan lagi. Saya harap datuk mamak tersebut faham tulisan saya selama ini.
dipetik dari blog: Ridhuan Tee
Dong Zhong adalah Rasist..
mana-mana cina yang sokong tuntutan Dong Zhong adalah rasist dan wajib di dakwa atas akta hasutan
hmm.. melayu..
No comments:
Post a Comment
Komen sahabat-sahabat amatlah aku hargai... tolong pastikan komen anda disertakan nama.. Anda BertanggungJawab Terhadap komen-komen anda sebagaimana seorang manusia dewasa yang matang dan mampu menentukan tindakan anda.. terima kasih..