Berani Selepas Pencen
Minggu lalu, bekas Menteri Besar Selangor (MB) berkata Umno yang terlalu dominan di Selangor akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan Selangor, kerana undi bukan Melayu akan lari kepada Pakatan Rakyat (PR). Beliau juga mengatakan, tidak ada calon BN yang layak untuk menjadi MB.
Saya tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan. Pada saya, sama ada BN akan menang atau tidak, ada calon MB atau tidak, biar rakyat yang menentukan. Apa yang penting, Umno dan BN perlu lah muhasabah diri, termasuk bekas MB itu. Apakah selama beliau memimpin Selangor suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan kehilangan sokongan rakyat benar-benar layak digelar MB? Jangan mengata dulang paku serpih.
Ya, Umno perlu menjadi dominan, yakni dominan dari segi akhlak pemimpin, itu sahaja cara yang dapat memikat hari pengundi, dan mengalihkan perhatian ultra kiasu. Bukannya sifat bermewah-mewah dan berpoya-poya. Selalulah mendekati rakyat melalui sembahyang berjamaah bersama rakyat. Paling baik boleh menjadi imam.
Pada masa sama, dekatilah pengikut Pas. Buang tabiat lama, bersifat lebih terbuka. Barulah cakap serupa bikin. Umno kalah dahulu kerana Umno masih mengekalkan tabiat lama seperti yang dilakukan oleh bekas MB ini. Saya masih ingat, ketika mula dilantik menjadi MB, perwatakan beliau amat humble, low profile dan sangat down-to-earth. Mungkin disebabkan beliau anak orang susah. Namun, setelah senang, dapat memegang jawatan agak lama, keadaan mula berubah.
Apa yang kami mahu ialah pandanglah muka kami bila kami datang berurusan. Bila bersalaman, genggam tangannya, tenunglah wajahnya buat seketika, jangan sekadar menyapu atau menyalat tangan sahaja. Kami datang berjumpa MB bukan untuk minta sedekah, tetapi sekadar meminta dan memberikan hak kami sebagai rakyat. Itu sahaja.
Sebab itulah, pemimpin dahulu memang hebat kerana mengikuti sunnah, jarang yang kaya raya berbanding pemimpin hari ini. Mereka hidup serba sederhana. Rakyat yang kaya. Itulah sebenarnya peranan pemimpin. Hari ini, kita kaya dahulu, rakyat dibiarkan miskin. Justeru, saya puji Bantuan Rakyat 1Malaysia.
Biarlah bantuan ini bersifat kekal, kerana yang miskin memang sewajarnya dibantu. Dahulu ketika memegang kuasa, pandangan bekas MB tersebut tidaklah kritikal seperti hari ini. Perebutan kuasa, cantas mencantas, korupsi dan sebagainya dipandang sebelah mata. Mungkin kerana beliau tidak ada banyak masa sehingga tidak nampak kemungkaran ini.
Sama juga sifatnya pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau kakitangan awam hari ini. Semasa dalam perkhidmatan, mereka seperti pijak semutpun tidak mati. Semua yang dilakukan kerajaan betul. Tiada kedengaran suara-suara sumbang atau sifat berani untuk menegur. Namun, apabila mereka pencen dan tidak berjawatan sama ada dalam parti atau kerajaan, keadaan menjadi berubah seratus peratus, mereka menjadi begitu berani. Semua yang dilakukan kerajaan tidak betul. Malah, mereka sanggup membocorkan rahsia-rahsia kerajaan.
Nampak sangat kita tidak jujur dan hipokrit. Budaya politik kita selama ini melahirkan ramai hipokrit sebenarnya daripada orang-orang yang jujur dan ikhlas. Di sinilah saya lihat silapnya Umno dalam mentarbiyyah ahli-ahlinya. Termasuk pemimpin Melayu ultra kiasu PKR hari ini. Dahulu semasa dalam Umno, semuanya wangi, apabila ditendang keluar, tidak sedikitpun kebaikan Umno yang disebut. Semuanya menjadi munafik.
Kenapa kita begitu berani apabila sudah tidak lagi memegang jawatan. Masa memegang jawatan kita begitu menikus. Sama juga kenyataan bekas menteri penerangan baru-baru, ketika berjawatan, semua yang dilakukan oleh Umno, betul belaka. Apabila tidak ada jawatan dan kalah, Umno semua salah. Saya berpandangan, Umno telah gagal mendidik ahli dan pemimpin mereka, setelah sekian lama memerintah.
Orang pandai tidak dibenarkan naik, kerana dilihat sebagai ancaman. Maka dipenaikkan orang-orang bodoh atau pandir, yang menjadi yes men. Belumpun selesai Perdana Menteri atau pemimpin bercakap lagi, pemimpin pandir ini akan memberi respon semuanya betul. Akhirnya, pemikiran tidak berkembang. Ramai orang-orang pandai yang ingin menjadi pemimpin mengadu kepada saya.
Mereka ada jawatan, ada bisnes, ada Phd sehingga bergelar profesor, namun mereka tidak pernah tertonjol dan menonjol kerana telah dipancung sejak awal-awal lagi. Sudah sampai masanya Umno melihat perkara ini dengan serius. Proses pentarbiyyah dalam Umno mesti berlaku. Masih belum terlambat.
Transformasi perlu segera dilakukan untuk menyelamatkan Umno daripada membusuk seperti mana saranan Perdana Menteri. Cerdik pandai dan pemimpin berakhlak mulia perlu diketengahkan dan ditonjolkan. Barulah dikatakan winnable candidate. Jika kayu mati terus diketengahkan, tunggulah kehancurannya. Pastikan pemimpin Umno tidak hanya pandai mengembungkan poket dan membuncitkan perut.
Umno mesti merakyat sebagai tage line 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Masih belum terlambat jika Umno mahu kembali ke pangkal jalan. Pemimpin tertinggi Umno mesti meneliti satu persatu bakal calon wakil rakyatnya. Akhlaknya, latar belakangnya, keluarganya dan banyak lagi kritiria yang lain mesti diambil kira.
Kepada mereka yang terlanjur, bertaubatlah. Masih belum terlambat. Banyakkan program tarbiyyah, kerana itu sahaja dapat mendidik hati dan menyelamatkan Umno.
Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
dipetik dari: RIDHUAN TEE
No comments:
Post a Comment
Komen sahabat-sahabat amatlah aku hargai... tolong pastikan komen anda disertakan nama.. Anda BertanggungJawab Terhadap komen-komen anda sebagaimana seorang manusia dewasa yang matang dan mampu menentukan tindakan anda.. terima kasih..