Bolehkah Sejarah Melayu Dipadamkan??
(Sinar Harian 16 Apr 2012)
Setiap kali bila isu pendidikan vernacular disentuh, saya diserang habis-habisan. Kedua ibu bapa saya, terutama ibu saya yang baharu sahaja meninggal, dihina dan dikutuk, menggunakan perkataan yang amat lucah. PengIslaman sayapun dikeji. Perkataan khitan (bersunat) dipermain-mainkan, hanya kerana saya tidak kulup lagi. Sehingga Yang di-Pertuan Agong yang tidak bersalah pun dibabitkan sama. Lebih serius lagi, ada ugutan mencederakan saya. Jika di Singapura, tempat yang menjadi pujian dan pakatan ultra kiasu, sudah lama mereka ini dihumban ke dalam penjara. Tetapi di negara kita, begitulah keadaannya, ‘terlalu bertoleransi’ kerana takut hilang kuasa.
Persoalannya, di mana salah saya? Apakah yang dilontarkan itu tidak benar? Jika menyimpang, perbetulkan. Itu baru namanya, kita orang yang bertamadun. Bukannya menganggap diri bertamadun, tetapi berpelakuan amat hina, berfikiran dan bertindak seperti orang hilang akal. Kenapa diri atau peribadi yang diserang, bukan hujah yang dibahaskan? Saya menghormati mereka yang berlapang dada dan dapat membincangkannya dengan baik.
Baiklah, jika masih tidak berpuas hati, saya akan ulangi apa yang telah ditulis sebelum ini. Buktikan kepada saya di manakah negara dalam dunia ini memberikan kebebasan mendapat pendidikan perkauman sebegini rupa? Ataupun sekurang-kurangnya menyamai sedikit apa yang dilakukan oleh negara kita? Tidakkah Malaysia adalah syurga kepada kaum selain Melayu dalam mengekalkan identiti dan jatidirinya? Kita terus kekal seperti mana asalnya, tanpa langsung diusik dan dijentik. Anak Cina/India kekal tulen Cina/India, malah lebih Cina dari di China. Di China pun tidak ada kebebasan dan tidak setulen seperti ini? Apa lagi yang kita mahu? Bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai lebih hak pun jarang bertindak seekstrem kita hari ini.
Saya harap pihak berkuasa tidak akan tunduk demi masa depan negara tercinta ini. Jika kita tunduk, maka tergadailah maruah dan jati diri sebuah negara yang terletak di kepulauan Melayu. Apakah mungkin manusia mati meninggal nama? Pada saya, jika harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading. Apakah mungkin Melayu mati, di mana tulangnya? Sepuluh jari saya susun jika orang Melayu tersinggung dengan tulisan ini. Terimalah muhasabah ini dengan lapang dada, kerana ikatan agama kita teramat kuat daripada ikatan bangsa membuatkan saya berani bersuara.
Saya sudah tidak rasa diri berbangsa, kerana Islam mengajar saya, Allah tidak akan tanya dikubur nanti, apa bangsa kamu! Cina atau Melayu! Tetapi pertanyaan yang amat takut tidak dapat dijawab, walaupun soalannya telah bocor, adalah “siapakah Tuhan kamu”? “Apakah agama kamu”? dan sebagainya. Wahai rakan seagamaku, percayalah dalam hati ini, tidak ada kepentingan lain, melainkan untuk melihat agama Islam dan umatnya, dibela dan terbela, disanjung dan dijunjung, terus kekal di bumi bertuah ini. Bukannya, dihina dan dipijak-pijak. Saya sudah tidak hirau lagi dituduh pengkhianat, hatta disuruh jangan lagi menggunakan surname TEE.
Saya tidak pernah diupah oleh Umno untuk menulis, mahupun menerima habuan Umno atau pihak ketiga. Saya tidak akan bersuara, jika semuanya teratur dan berjalan dengan baik. Saya tidak mahu mencari masalah. Saya mahu hidup aman, bebas dari kutukan, makian, hinaan dan cercaan orang lain. Namun, apakan daya, selagi Islam dan umatnya tidak terangkat dan terdarjat, selagi itulah perjuangan tidak selesai. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan membuka hati kita semua. Ia perlu dilakukan dengan cepat, kerana masa tidak menunggu kita. Jika kita terus berpolitik, saya bimbang, kesempatan mungkin tidak datang untuk kali kedua. Sementara berkuasa, lakukanlah yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.
Ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat. Semakin terus menggunakan segala ruang dan peluang pada waktu kritikal ini, kerana mereka takut ruang dan peluang ini mungkin tidak datang lagi, walaupun mereka tahu ruang dan peluang itu masih terbuka luas, dengan adanya orang Melayu Islam yang belot bersama mereka, sepakatan dengan mereka. Justeru, wahai saudaraku, sekali lagi saya paparkan apa yang telah diberikan selama ini, selain daripada tuntutan ultra kiasu yang terbaru. Bacalah, saya tidak akan ulangi lagi.
Pertama, SJKC sebenarnya tidak boleh disentuh sejak kewujudannya. Kita hanya berjaya menyeragamkan silibus pelajaran daripada berkiblat negara asal kepada silibus kita. Itupun masih lagi dipersoalkan, kerana penyeragaman itu tidak berlaku secara menyeluruh kerana kita terus tunduk. Subjek Bahasa Melayu walaupun telah diseragamkan, tetapi teksnya tidak sama berbanding aliran kebangsaan. Bahasa Melayu di SJKC/T lebih mudah, berbanding sekolah kebangsaan. Penyeragamanya ditentang oleh ultra kiasu kerana jika diberatkan bahasa Melayu, penguasaan bahasa ibunda akan berkurang.
Kedua, cadangan penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu di SJKC juga gagal. Cadangan kerajaan ditolak mentah-mentah. Alasannya, jika ditambahkan waktu P&P bahasa Melayu, ia akan mengambil ruang masa subjek bahasa ibunda. Penguasaan bahasa ibunda akan terjejas.
Ketiga, cadangan P&P subjek sejarah (Malaysia Negaraku) di sekolah rendah, untuk meningkatkan semangat patriotism. Pun tidak berjaya. Jika subjek ini mahu diajarkan juga, mesti diajar dalam ibunda, bukannya dalam bahasa Melayu, kerana akan menjejaskan penguasaan bahasa ibunda.
Keempat, kegagalan Sekolah Wawasan. Semua Sekolah Wawasan yang telah didirikan gagal untuk menarik perhatian orang Cina. Alasannya, percampuran dengan orang lain, akan mengurangkan penguasaan bahasa ibunda. SJKC mesti beroperasi dengan penuh kecinaan, baru murid-murid dapat menjadi Cina tulen.
Pokoknya, mereka tidak mahu menjadi Cina Pisang. Titik. Mereka mahu jadi secina cinanya. Persoalannya, apakah tindakan sebegini baik untuk pembinaan sebuah negara bangsa? Mereka tidak mahu dikaitkan dengan Melayu. Dengan orang putih tidak mengapa.
Pendek kata, ultra kiasu langsung tidak mahu bahasa ibunda mereka cair. Sebarang gugatan akan ditentang habis-habisan, tanpa memikirkan agenda negara. Pada mereka, biarlah anak-anak mereka langsung tidak tahu berbahasa Melayu, asalkan mereka mesti tahu berbahasa Cina.
Fikirkanlah wahai pemimpin sekelian. Benar, undi dan pengekalan kuasa penting. Tetapi fikirkanlah kepentingan agenda membina negara. Saya tidak menjadi masalah atau tidak pernah risau, jika perkara ini berlaku di negeri China, tetapi ingatlah kita berada di Malaysia, perkataan ‘Malay’ itu masih wujud, dengan sedikit penambahan perkataan ‘Sia’. Jika tidak berlaku kemasukan Sabah dan Sarawak, negara ini akan terus kekal dengan nama Tanah Melayu. Bayangkan jika perkara ini terus berlaku, sedangkan namanya masih kekal Tanah Melayu. Bolehkah sejarah ‘Tanah Melayu’ dipadamkan begitu sahaja?
Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Dari Laman BLog: Ridhuan Tee
aku sentiasa berasa cemburu kepada Dr Ridhuan Tee ini.. Beliau mampu menyampaikan apa yang aku sebagai orang melayu tak mampu sampaikan kepada anak bangsaku sekian lama..
insya Allah, dengan aku sentiasa memaparkan hasil tulisan dan buah fikiran beliau, aku dapat menyampaikan dan belajar sebanyak mungkin dari beliau...
hmm.. melayu..
No comments:
Post a Comment
Komen sahabat-sahabat amatlah aku hargai... tolong pastikan komen anda disertakan nama.. Anda BertanggungJawab Terhadap komen-komen anda sebagaimana seorang manusia dewasa yang matang dan mampu menentukan tindakan anda.. terima kasih..